Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan,
melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara
penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada
haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang
dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam
perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban suami, isteri
di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga
melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai
dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara
terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian
dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah
suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga,
kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang
lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan
bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami
atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan
di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat
yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh
sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka
sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang
masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk
diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa,
mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup
kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah
atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan
isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan
pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara
tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga
yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat
kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah
amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa
boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan
berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika
dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook,
mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan
pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan
gambar mereka, sama ada jarak
dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak
gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya,
aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan
kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar
sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih
merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan
pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal
dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran
nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di
ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si
lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket
kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika
kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam
kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri
zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana
gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca
perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat
wanita. Ada
dilaporkan juga, sebahagian
lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita.
Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita
tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula
menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai
secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara
itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita
terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan
dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang
orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkanfriend untuk menatapi gambar anda, pastikan
semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan
dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu
‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar
tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana
wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai
sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada
lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja
gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan
sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami.
Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak
perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga
nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin
menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh
wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan
isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan
gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu
fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri
kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak
juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti
Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar
lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu
disedari, setiap gambar yang di'tag', akan
muncul dan boleh dilihat oleh semuafriend, dan rakan kepada
friend tersebut juga boleh menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a- Sebahagian individu di dalam
gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup
aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah
haram.
b- Individu terbabit berada di
dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak
begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid',
tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat.
Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh
dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar
masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang
boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya,
sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka.
Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar
sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
c- Gambar
mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat,
tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang
menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun
rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila
gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran
sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada
sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar
anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu
sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri &
kebaikan
Adakalanya terdapat juga
wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman
universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan
perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju
bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak
sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin
bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh
rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk
dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku
ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent',
zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan
lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila
berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?,
kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian
sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas
pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama
seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang
baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna
dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan
limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan
sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda
di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah
lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang
membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran.
Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya
akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
Prosesnya lancar dan saya menerima dana saya pada hari kerja berikutnya. Saya akan sangat merekomendasikan AAtlasloan kepada siapa saja yang mencari bantuan keuangan. pesan saya untuk info lebih lanjut
ReplyDeletewhatsapp me +1 443 345-9339
Atlasloan83@gmail. com
- Daryl D., Lynn, MA